Saturday, 10 October 2015

GIGI KEKAL LEWAT TUMBUH
Bila pertumbuhan gigi dianggap lewat ?
Biasanya gigi kacip kekal di rahang atas tumbuh ketika kanak-kanak berumur 7 - 8 tahun. Pertumbuhan gigi dianggap lewat apabila gigi itu masih belum tumbuh bila kanak-kanak telah mencapai umur 8½ - 9 tahun ke atas.
Kenapa berlaku kelewatan pertumbuhan gigi?
Pertumbuhan gigi lewat mungkin ada kaitan dengan :
Gigi supernumerari (gigi yang lebih)
Pembentukan gigi yang tidak normal.
Bentuk gigi kekal atas yang tidak normal .
Ruang rahang tidak mencukupi.
Penyakit tisu lembut atau tulang gigi setempat.



Friday, 9 October 2015

..BENGKAK MUKA..
Apa itu bengkak muka?
Bengkak muka adalah pembesaran atau pengembangan pada muka disebabkan oleh pengumpulan cecair badan atau keradangan pada tisu muka. Kebengkakan boleh berlaku pada mana-mana bahagian muka, dengan bibir, pipi dan kelopak mata adalah bahagian yang menunjukkan perubahan yang ketara. Bengkak muka juga dikenali sebagai edema muka.
Terdapat pelbagai penyakit, situasi atau ketidaknormalan yang sedikit atau teruk boleh menyebabkan bengkak muka. Kebengkakan ini boleh disebabkan oleh jangkitan, keradangan, trauma dan malignan (kanser).
Gejala yang mungkin berlaku bersama bengkak muka
Bengkak muka boleh terjadi bersama gejala lain seperti:
Sakit dan kemerahan mata
Sakit muka
Keletihan
Demam
Sakit kepala
Bisul
Kesakitan semasa mengunyah atau menelan
Bengkak yang sakit pada bahagian telinga

Thursday, 8 October 2015

CEGAH MASALAH GUSI
Kehamilan membawa banyak perubahan pada diri seorang wanita dan gigi adalah anggota yang tidak terkecuali dari mengalami perubahan tersebut.Ketika hamil, ibu kerap menghadapi masalah gigi dan juga gusi berdarah.
Selain mendapatkan rawatan daripada doktor gigi, ibu hamil boleh menjaga kesihatan gigi dan gusi dengan melakukan rutin ini.
1) Bersihkan Diri Dengan Teratur
Jika perlu gunakan benang gigi setelah selesai makan dan sebelum tidur.Penggunaan ubat kumur yang mengandungi antiseptik juga boleh membantu membersihkan permukaan gigi. Selain itu setiap kali muntah, berkumur dan gosoklah gigi.
2) Jaga Pemakanan
Antara lain dengan memastikan pengambilan vitamin B6 dan C yang mencukupi. Kedua vitamin ini membantu menjaga gusi agar tidak mudah berlaku pendarahan. Vitamin B6 boleh diperolehi dari bahan makanan yang berasal dari biji-bijian dan kacang.
3) Rawatan Gigi
Sekiranya menghadapi masalah gigi seperti gigi berlubang, sebaiknya ibu hamil pergi berjumpa dengan doktor gigi. Namun sebelum doktor melakukan pemeriksaan atau rawatan jelaskan bahawa anda sedang hamil.Keadaan ini untuk mengelakkan tidak melakukan pemeriksaan yang boleh mengganggu kehamilan seperti penggunaan sinar x. Selain itu pemberian ubat pada wanita hamil juga perlu diberi perhatian. Penting diketahui banyak ubat yang tidak dapat diberikan kepada wanita hamil kerana ditakuti memberi kesan buruk terhadap janin yang dikandung.
Sekiranya doktor mengambil tindakan radikal seperti mencabut gigi, ia mungkin dilakukan setelah membuat pertimbangan yang wajar dan matang. Ini kerana ubat bius yang diberikan mampu mempengaruhi kontraksi rahim. Itulah sebabnya doktor tidak akan melakukan tindakan bersifat pembedahan ketika kehamilan terutama pada trimester pertama dan ketiga.

Wednesday, 7 October 2015

GIGI PALSU
Gigi palsu adalah peralatan boleh tanggal yang digunakan untuk menggantikan gigi yang telah hilang dan tisu disekitarnya.
Mengapa anda memerlukan gigi palsu?
Menggantikan gigi yang hilang dengan gigi palsu akan memudahkan anda mengunyah makanan dan bercakap dengan lebih jelas. Apabila banyak gigi yang hilang, otot muka boleh mengendur dan membuatkan wajah kelihatan lebih tua. Gigi palsu juga boleh membantu mengembalikan profil wajah anda, mengembalikan semula senyuman dan membantu meningkatkan keyakinan diri. Ia juga mencegah gigi bersebelahan bergerak ke arah ruang kosong yang terjadi akibat kehilangan gigi.
Tips untuk pemakai gigi palsu
Untuk beberapa hari pertama memakai gigi palsu, mulakan dengan memakan makanan lembut.
Anda juga boleh memotong makanan anda kepada potongan kecil. Membaca dengan kuat untuk beberapa hari pertama akan membantu anda mengatasi masalah pertuturan.
Anda juga boleh menggunakan pelekat gigi palsu untuk membantu anda membiasakan diri dengan pemakaian gigi palsu. Jika anda mengalami kesakitan, jangan guna gigi palsu itu untuk sementara waktu; segera berjumpa doktor gigi untuk rawatan.
Bagaimana menjaga gigi palsu anda
Berus dan bilas gigi palsu anda selepas makan dan sebelum tidur. Rendam gigi palsu dalam air biasa yang bersih bila tidak dipakai. Jangan guna air suam atau air panas. Jangan cuba untuk mengubah atau membaiki gigi palsu itu sendiri. Elakkan memakai gigi palsu semasa tidur.

Tuesday, 6 October 2015

Ubat Gigi Berfluorida untuk Kanak-Kanak
Penggunaan ubat gigi berfluorida merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kerosakan gigi di serata dunia.
Penggunaan Ubat Gigi Berfluorida Yang Betul
Memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak boleh memastikan gigi anak-anak anda menerima kebaikan fluorida iaitu menguatkan enamel gigi serta mencegah karies.
Perkara yang BOLEH dan TIDAK BOLEH dalam penggunaan ubat gigi untuk kanak-kanak
Boleh
Gunakan secalit sahaja ubat gigi kanak-kanak untuk yang kecil di bawah umur 2 tahun ( Ubat gigi kanak-kanak mengandungi fluorida sebanyak 600ppm atau kurang )
Berus dua kali sehari
Penting memberus di waktu malam sebelum tidur
Tidak Boleh
Jangan mencadangkan ubat gigi yang mengandungi lebih fluorida dari 600ppm untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah melainkan di nilai kadar kariesnya tinggi
Jangan berkumur selepas memberus gigi (digalakkan berludah sahaja )
Untuk kanak-kanak yang di nilai kadar kariesnya tinggi, walaupun ia berumur enam tahun ke bawah, ia di nasihatkan menggunakan ubat gigi berfluorida mengandungi lebih daripada 1000ppm fluorida ataupun ubat gigi dewasa..




Monday, 5 October 2015

Tampalan Sewarna Gigi
Adakah Rawatan Ini Sukar?
Rawatan ini tidak begitu sukar.
Tempoh rawatan menggunakan bahan tampalan komposit mungkin mengambil masa yang lebih lama berbanding tampalan biasa. Selepas bahagian gigi yang rosak dibuang, gigi mesti dikeringkan.
Bahan pelekat akan disapu ke atas permukaan gigi diikuti beberapa lapisan nipis bahan tampalan sewarna gigi (komposit).
Kemudian bahan tampalan tersebut akan mengeras secara kimia atau dipanaskan mengguna cahaya yang khas selama kurang dari satu minit.


Thursday, 1 October 2015

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Penyakit Periodontium (Gusi)?


-Penyakit gusi ialah jangkitan pada gusi dan tisu penyokong gigi. Penyakit ini dibahagikan kepada dua peringkat:
1.Gingivitis ialah penyakit gusi peringkat awal yang hanya melibatkan tisu gingiva (gusi) sahaja.
2.Periodontitis pula adalah penyakit periodontium (Gusi) yang lebih parah dan melibatkan bahagian akar gigi dan tulang penyokong gigi.
Penyebab utama penyakit gusi adalah plak gigi :-
-Ketidakupayaan memberus gigi dengan sempurna.
-Merokok atau mengunyah tembakau.
-Memakai aplians ortodontik.
-Tabiat mengetam atau mengetap gigi.
-Penyakit diabetes.
-Faktor keturunan.
-Perubahan hormon ketika haid atau semasa mengandung.
-Stres.
-Kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan.
-Sistem penghadaman yang kurang baik.
-Penyakit sistemik yang mengurangkan daya ketahanan badan melawan penyakit seperti kencing manis dan HIV/AIDS.