Saturday, 19 September 2015

Pernahkah anda berasa takut untuk berjumpa doktor gigi?
Doktor gigi tidak akan mencabut gigi anda tanpa alasan yang munasabah melainkan jika gigi anda benar-benar tidak dapat diselamatkan.
Anda boleh berkunjung ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan walaupun gigi anda tidak berasa sakit. Doktor akan memeriksa gigi anda dan memberitahu status kesihatan gigi dan persekitaran mulut anda. Doktor gigi juga memberi khidmat nasihat dan rawatan pencegahan pada masa yang sama.
Jika anda berjumpa doktor gigi pada tahap sakit gigi yang amat sangat, anda akan mengalami rasa sakit dua kali ganda daripada biasa. Ini kerana, selain sakit kerana kerosakan gigi, anda juga terpaksa menanggung kesakitan akibat gigi yang dicabut.
Anda mungkin berasa takut semasa duduk di atas kerusi khas ketika mendapatkan rawatan. Tambahan melihat pelbagai peralatan untuk rawatan yang menggerunkan. Contohnya, apabila alat penggerudi digunakan, bunyinya sahaja sudah cukup membimbangkan.
Sebaik-baiknya anda mesti berusaha membayangkan perasaan seronok daripada peristiwa lalu seperti pergi berkelah dengan keluarga. Ini banyak membantu anda meredakan perasaan takut. Anda juga boleh minta penjelasan berkaitan rawatan yang diberikan.
Bagaimanapun rasa takut itu dapat dihilangkan dengan cara memberi keyakinan kepada doktor dan jururawat yang bertugas. Mereka telah dilatih dan mahir menggunakan semua peralatan rawatan dengan cekap. Tugas mereka untuk merawat gigi dan kesihatan mulut anda, bukan untuk menyeksa.

No comments:

Post a Comment