Friday, 1 April 2016

Siapakah Yang Memerlukan Jambatan Pergigian?
.................................................................................
Apakah yang dimaksudkan dengan jambatan pergigian?
Ia merupakan sejenis prostesis yang digunakan untuk menggantikan satu atau lebih gigi yang hilang dengan menyambungkan gigi-gigi palsu dengan gigi-gigi bersebelahan atau pun implan. Implan pergigian merupakan pilihan yang utama dalam rawatan untuk menggantikan gigi yang hilang di negara-negara maju (jambatan pergigian yang dipegang oleh implan pergigian sepenuhnya). Walau bagaimana pun, jambatan pergigian yang disokong oleh gigi tetap digunakan dengan meluas di serata dunia kerana kosnya yang lebih murah.
Adakah jambatan pergigian sesuai untuk semua golongan? Apakah perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan di dalam menilai kesesuaian pesakit?
Terdapat beberapa perkara asas yang perlu dipenuhi oleh pesakit yang berminat. Kebersihan mulut yang memuaskan, tiadanya penyakit gusi aktif serta sikap yang positif terhadap kesihatan pergigian merupakan faktor yang sangat penting dan wajib dipenuhi. Pesakit dengan tahap kebersihan mulut yang tidak memuaskan tidak sesuai untuk diberi sebarang jenis prostesis yang melekat secara tetap kerana ia berkebarangkalian tinggi akan menyebabkan karies berulang (lubang pada gigi) serta penyakit gusi. Kebersihan mulut yang tidak memuaskan merupakan petunjuk negatif berkenaan sikap terhadap kesihatan pergigian. Pesakit sebegini akan diberi nasihat serta tunjuk ajar dan diwajibkan untuk melalui proses pemeriksaan semula secara berkala untuk suatu jangka waktu. Penilaian semula hanya akan dibuat untuk mempertimbangkan kesesuaian pesakit apabila tahap kebersihan mulut telah menjadi baik.

No comments:

Post a Comment