Apakah langkah-langkah penjagaan di rumah yang perlu diambil jika memakai pendakap gigi:
1. Jika anda memakai pendakap tetap,masa yang diperlukan untuk proses pembersihan gigi adalah lebih daripada biasa. Celah-celah di antara pendakap dan di pinggir gusi harus diberus dengan lebih sempurna menggunakan berus gigi dan ubat gigi yang sesuai. Penggunaan berus interdental atau flos/benang gigi dapat membantu pembersihan antara celah gigi, sekeliling braket dan di bawah dawai. Sebaik-baiknya, gigi harus diberus setiap kali selepas makan dan lebih penting lagi sebelum tidur.
2.Jika anda menggunakan alat pendakap boleh tanggal / alat pemegang, ia mesti ditanggalkan untuk tujuan pembersihan. Gunakan berus gigi berbulu lembut untuk membersihkan alat ini. Anda juga boleh menggunakan bahan pembersih alat pendakap atau gigi palsu untuk membuang enapan (deposit) pepejal (karang gigi) di samping menyegarkan bau alat pendakap.
3.Cuba elakkan mengambil makanan yang manis, keras seperti kekacang dan melekit seperti gula toffee dan gula-gula getah kerana ia menyebabkan kerosakan kepada alat pendakap. Elakkan minuman ringan bergas kerana kandungan asid di dalamnya akan menghakis permukaan gigi, menyebabkan lapisan enamel menipis. Kekerapan mengambil makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula harus dielakkan untuk mengurangkan ancaman asid dalam mulut
4.Hubungi Pakar Ortodontik anda jika berlaku kerosakan atau braket menjadi longgar, supaya temu janji segera dapat diatur. Anda juga perlu mengambil perhatian bahawa alat pendakap tetap yang selalu tercabut akan memanjangkan tempoh rawatan. Pakar Ortodontik akan menyarankan penggunaan lilin lembut pada bahagian braket yang bergeser dengan bibir dan pipi untuk mengelakkan terjadi ulser.
No comments:
Post a Comment